Lawatan Kerjasama Dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Putera Songkla (PSU)

Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, UMK telah mengadakan lawatan kerjasama ke PSU, Hatyai bagi menandatangani pembaharuan MOU di antara pihak UMK dan PSU pada 18 Januari 2023 .

Delegasi UMK diketuai oleh Naib Canselor UMK, Prof Dato Dr Razli Che Razak dan diiringi oleh  Prof., Madya Dr. Muhammad Azwadi bin Sulaiman, Dekan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Prof. Dr. Aweng A/L Eh Rak, Pengarah UMK Kampus Jeli, Prof. Madya Dr. Zulhazman bin Hamzah, Fakulti Sains Bumi, Ts Dr. Sarizam bin Mamat, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan pascasiswazah), ChM Ts Dr. Nor Hakimin Abdullah, Ketua Jabatan (Asas Sains, Teknologi dan kejuruteraan) dan Mohammad Firdaus bin Nizam, Pegawai Khas Naib Canselor.

Ketibaan delegasi UMK di PSU disambut oleh Asst. Prof. Dr. Niwat Keawpradub, Presiden dan pihak pengurusan PSU Hatyai, Thailand. Majlis menandatangani MOU berlangsung dalam keadaan ceria di mana pemeteraian ini melibatkan tempoh selama lima (5) tahun. Kerjasama tersebut melibatkan program mobiliti pelajar dan pensyarah, kerjasama penyelidikan dan konsultansi serta lain-lain kerjasama. Sesi perbincangan dua hala turut diadakan bagi membincangkan strategi bagi mengukuhkan hubungan di antara UMK dan PSU.

Delegasi UMK turut berkesempatan untuk melakukan lawatan sekitar kampus PSU, Hatyai yang cantik dan mendamaikan. Pemeteraian MOU ini diharap dapat memberikan impak positif dalam memacu kecemerlangan FBKT, UMK dan PSU.

Dr Nor Hakimin Abdullah